WANG,
populariti dan glamor. Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa seorang
chef juga boleh menandingi kehebatan seorang artis, ahli politik atau
ahli sukan yang terkenal. Sejak lebih 20 tahun dahulu, chef dianggap
antara profesion yang amat menarik dan menguntungkan untuk diceburi.
Seorang chef boleh mengundang rasa kekaguman ramai atas kebolehan dan
kreativiti mereka dalam menyediakan pelbagai jenis masakan dengan
gabungan seni kulinari.
Kita
sering mendengar seorang chef mengatakan bahawa, masakan yang enak
datangnya daripada hati yang ikhlas. Kata-kata itu mempengaruhi
sebahagian besar daripada kita apabila memasak di dapur. Apa pun, daya
penariknya, ramai yang mahu menjadi chef kerana kerjaya yang dikuasai
oleh kaum lelaki itu mampu meraih pendapat yang lumayan. Ada di antara
mereka menimba pengalaman dengan bekerja di hotel-hotel, kemudiannya
membuka restoran sendiri dengan menjalankan perniagaan katering, ada
yang menghasilkan buku dan beberapa chef terkenal tampil di televisyen
mengendalikan rancangan-rancangan masakan mereka sendiri.
Dalam
pada itu, minat orang ramai terhadap rancangan-rancangan masakan dan
penyediaan makanan di televisyen membuatkan golongan ini terus mendapat
perhatian. Di kebanyakan negara, rancangan yang dikendalikan atau
dihoskan oleh chef-chef terkemuka mereka ini mendapat rating yang
tinggi.
Di
Malaysia, Datuk Chef Wan merupakan chef paling terkenal dan dikatakan
menerima pendapatan tertinggi berbanding dengan chef lain di negara ini.
Beliau yang hampir 30 tahun menceburi bidang itu bermula dari bawah dan
kini bakatnya dalam bidang tersebut diiktiraf di peringkat dunia dan
menjadi kebanggaan negara.
Dilahirkan
pada tahun 1958 di Singapura, pemilik nama Redzuawan Ismail ini
merupakan pengacara masakan No 1 di Malaysia. Pada usia tiga tahun,
keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur kerana ayahnya dipindahkan dari
The British Royal Air Force ke The Malaysian Air Force. Menetap di
pangkalan Angkatan Tentera Udara, di sinilah beliau mengembangkan bakat
memasak. Seni memasak yang dipelajari daripada ibunda dan nenda tercinta
serta didorong rasa ingin tahu dan sering melakukan eksperimen, telah
mengasah bakat Chef Wan di dapur.
Menerima gelaran Datuk baru-baru ini, penat lelah selama
lebih 30 tahun yang dipikul beliau dalam mengharumkan nama negara
akhirnya terbalas. Figura terkenal ini telah berjaya membuka mata banyak
pihak bukan saja dalam negara malahan di peringkat antarabangsa dalam
bidang masakan yang rata-ratanya dimonopoli oleh kaum Hawa.
Memasak
untuk personaliti terkenal seperti Sultan Brunei dan bekas Presiden
Amerika Syarikat, Bill Clinton, kehebatan beliau bukan pada penghasilan
hidangan istimewa tetapi pada celoteh dan keletahnya yang unik dan mampu
memukau penonton sepanjang hari. Antara trademark beliau ialah
menggunakan leteran nenek di kampung dalam interaksi dengan penonton
yang tidak pernah gagal untuk memikat hati penonton. Beliau juga digelar
Jamie Oliver di Britain dan Martha Stewart di Amerika tetapi versi
Malaysia
Tidak
ramai yang tahu bahawa tukang masak kesayangan rakyat Malaysia ini
adalah seorang akauntan bertauliah. Dek kerana minat yang amat mendalam
dalam bidang masakan, beliau berhenti kerja, ambil ijazah dalam Latihan
Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy
di San Francisco, Amerika Syarikat dan berusaha gigih untuk menjadi
seorang chef yang kreatif, berinovasi dan profesional. Beliau mengambil
keputusan drastik dengan membuat belok terbesar dalam hidupnya pada 17
tahun dulu walaupun keputusan itu akan mengecewakan bapanya. Tidak mampu
lagi untuk membohongi diri, berpakaian kemas dan menjalani kehidupan
korporat bukanlah sesuatu yang ingin dilakukannya dalam hayat ini. Tujuh
tahun bekerja untuk sebuah bank membuatkan beliau rasa terseksa dan
mengatakan pada diri bahawa enough is enough. Beliau terdesak
untuk melakukan perubahan kerjaya dan mahu melakukan sesuatu yang
dicintainya iaitu makanan. Mengimbas kembali pada turning point beliau,
tiada siapa yang menyangka bahawa Chef Wan tidak pernah menyesal akan
keputusan untuk beralih profesion. Walaupun beliau harus bermula
daripada bawah dengan membasuh pinggan mangkuk dan pada masa yang sama
membiayai pengajiannya sendiri, beliau puas. Selain daripada ijazah yang
diperoleh, beliau turut memiliki Diploma dari Hotel Ritz, Paris.
Mewarisi
bakat masakan daripada ibunda, figura yang petah berbicara ini
berpendapat bahawa makanan adalah senjata terbaik untuk menghubungkan
masyarakat dari seluruh dunia dan makanan juga menunjukkan budaya dan
bangsa. Tambahan beliau lagi, bidang masakan ini terlalu luas, semakin
banyak yang diteroka, semakin banyak peninggalan yang diwariskan oleh
orang dulu-dulu.
Sepanjang penglibatan beliau dalam rancangan masakan, antara program masakan yang paling diingati rakyat Malaysia ialah The Kuali Cook Show, Chef Wan, dan yang paling terbaru iaitu Citarasa Sedunia Bersama Gas Petronas. Tetapi rancangan masakan TV antarabangsa seperti A Taste of Australia with Chef Wan (Australian ABC Network), Flavours of Asia (Prime 12, Singapore), Market Kitchen (UK Food Network), Flavours of the World (TV4, Sweden) dan Chef Wan and Gino’s Specials
(Orge TV, Norway) yang membuka jalan ke kemasyhuran di seluruh dunia.
Untuk semua dedikasi kepada industri makanan, Chef Wan telah dinamakan
Chef Selebriti televisyen Terbaik di Anugerah Buku Masakan Dunia
Gourmand tahun lepas di Perancis.
Pada masa masyarakat menjangka Chef Wan akan berehat bersama keluarga, beliau baru sahaja selesai penggambaran program masakan Ekspedisi Chef Wan musim
kedua untuk TV9. Beliau telah pergi ke Thailand, Vietnam, Hong Kong,
Macau, Bali dan London untuk penggambaran. Untuk musim ketiga dan
keempat, beliau akan ke Mauritius, Turki, Korea, Mesir, Sweden, Lebanon
dan Syria. Terkenal sebagai seorang yang bekerja kuat, beliau pada masa
ini sedang sibuk berdiskusi dengan TV3 untuk menghasilkan rancangan temu
bual sendiri yang bakal menggabungkan topik-topik makanan seperti yang
kerap disentuh Oprah Winfrey dan Martha Stewart. Dan seolah-olah yang
tidak cukup dengan rencana harian yang padat, beliau bakal melancarkan
pelbagai set pinggan mangkuk dan dapur, yang dinamakan Chef Wan Lifestyle dengan cara jualan langsung.
Seorang
yang menghargai kecantikan, beliau gemar belajar tentang budaya setiap
negara yang beliau lawati. Bagi beliau, setiap budaya mempunyai definisi
sendiri tentang keindahan, maka beliau sering membawa pulang
sekurang-kurangnya satu barang cantik yang menjadi simbol budaya negara
yang telah dilawati sebagai kenang-kenangan dan biasanya dipamerkan di
ruang tamu rumah beliau.
Anak
sulung daripada tujuh adik beradik ini merupakan Duta Makanan yang
dilantik oleh Kementerian Pelancongan pada 2010 kerana menghargai
sumbangannya memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pada tahun lalu, sumbangannya sekali lagi diiktiraf di peringkat
antarabangsa apabila menerima dua anugerah berprestij daripada National Critics Choice. Anugerah berkenaan ialah Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards 2011/2012 dan juga Best Editor‘s Choice Award yang diberikan berdasarkan kejayaan buku masakannya, Best of Wan Taste of Malaysia.
Pada tahun yang sama, beliau telah diberi penghormatan bagi menjayakan
program bual bicara pagi, NBC Today yang disiarkan secara langsung untuk
saluran NBC di AS. Program televisyen itu berlintas langsung dari taman
rekreasi Suria KLCC dan berlatar-belakangkan bangunan berkembar KLCC
yang disaksikan oleh jutaan rakyat AS. Dan yang terbaru, Kerajaan
Thailand memberinya gelaran Friends of Thailand Award pada September 2010. Sejurus selepas itu, beliau dipilih sebagai Malaysia Airlines (MAS) Holiday Travel Icon Ambassador pada November 2010 yang berperanan untuk menjelajah dunia dengan pelbagai jenis masakan.
Menurut
Chef Wan, kelebihan menjadi seorang chef ialah mampu membuatkan orang
gembira. Beliau percaya bahawa makanan membawa kegembiraan. Tidak kira
lah sama ada masalah hidup yang dihadapi kecil atau besar, tiada masalah
sebesar kebuluran! Tetapi beliau tidak ingin menjadi chef biasa,
disebabkan nature beliau yang agak ‘gila-gila’, beliau suka
melancong, berlakon, menyanyi, menulis dan yang paling biasa dilihat
iaitu bercakap Beliau memasang impian untuk membawa keamanan kepada
dunia melalui makanan. Makanan mampu menyatukan pelbagai jenis manusia
daripada pelbagai jenis bangsa dan kebudayaan kerana apabila semua duduk
makan bersama, figura hebat ini yakin bahawa semua masalah dapat
diselesaikan.
Juga
aktif di laman maya, Chef Wan melalui laman Facebooknya berkongsi
pandangan mengenai kehidupan sesetengah orang yang tertekan dengan
kekangan kewangan atas pelbagai faktor sampingan. Tidak menyalahkan
mana-mana pihak, Chef Wan menegur sikap segelintir masyarakat yang
menjalani gaya hidup mewah serta banyak melepak merupakan punca utama
kehidupan seseorang itu umpama “kais pagi makan pagi kais petang makan
petang”. Berdasarkan pengalamannya, Chef Wan dikatakan sudah banyak kali
bertemu dengan orang malas berusaha dan membiarkan masa berlalu begitu
sahaja. Chef Wan menegur supaya individu berkait tidak menuding jari
terhadap orang lain jika berlakunya sesuatu kesusahan.
Chef
Wan mempunyai dua orang anak, seorang daripadanya Serina Redzuawan,
seorang pelakon yang telah muncul dalam beberapa siri drama Malaysia.
Anak Chef Wan, Muhammad Nazri bin Redzuawan, mengikuti jejak langkah
ayahnya dengan menjadi seorang tukang masak juga. Beliau merupakan
seorang bapa yang bertanggungjawab dan tegas dalam mendidik anak lelaki
dan perempuannya.
Setelah
mendapat segala-galanya, kemasyhuran dan kesenangan, Chef Wan berharap
dapat bekerjasama dengan chef-chef tempatan untuk menghasilkan buku
ensiklopedia masakan mengandungi semua masakan dari setiap negeri,
senarai rempah ratus, petua masakan dan resipi. Ia buku rujukan lengkap
mengenai masakan. Beliau sendiri sudah mula mengumpul bahan sejak empat
tahun lalu dan dalam memberikan yang terbaik, beliau sanggup meredah
kampung mencari resipi terkenal di sesuatu daerah itu. Menurut beliau
lagi, beliau sanggup bayar asalkan mendapat resipi tradisi yang lengkap
dan betul.